SeARch HeRE

Pemimpin itu adalah...

Perlu diingat, pemimpin kebenaran yang dijanjikan dapat mengubah masyarakat seperti yang tersebut di atas itu mengikut peringkat masing-masing. Bukan melalui kuasa, akta, undang-undang bertulis dan ugutan hukuman. Tidak sekali-kali. Kalau ada pun, terlalu sedikit. Bahkan di peringkat jemaah, mereka tidak punya kuasa untuk membuat akta serta undang-undang rasmi. Tidak juga tentera dan polis untuk menjalankan penguatkuasaan.

Perubahan masyarakat berlaku hasil didikan, ilmu, tunjuk ajar dan pimpinan dengan penuh hikmah dan kasih sayang secara istiqamah dan sistematik yang mereka lakukan dengan gigih dan sukarela. Peribadi pemimpin itu benar-benar menjadi contoh. Mereka buat kerja ini bukan kerana permintaan sesiapa. Tidak juga kerana jawatan atau hobi. Pun tidak kerana sesuatu kepentingan. Kecuali kerana membuktikan kehambaan dan sumpah janji bahawa hidup mati adalah untuk Allah.

Berbeza dengan pemimpin Islam yang tidak dijanjikan, mereka yang dijanjikan ini berjaya dalam tugas memimpin. Manakala yang lain, tidak. Mereka selamat dan menyelamatkan umat. Tetapi pemimpin yang tidak dijanjikan, kalau dia selamat pun dia tidak berjaya menyelamatkan orang lain sekalipun kuasa ada di tangan. Apakah ciri-ciri yang mem-bezakan ini? Antara ciri-ciri itu ialah:

  1. Pemimpin yang Allah sendiri tunjuk dan lantik, pastilah Allah bantu dengan ilmu sama ada dalam bentuk wahyu kalau dia nabi dan rasul atau ilham kalau dia wali. Terutama ilmu mendidik, memimpin, menyelesaikan masalah membangun, menghadapi musuh, kaedah, teknik, strategi dan lain-lain lagi. Ilmu yang Allah beri itu adalah ilmu yang paling tepat untuk zaman di mana pemimpin itu dilahirkan. Sedangkan pemimpin yang tidak dijanjikan, tidak memperolehi ilmu-ilmu yang istimewa ini. Hingga sukar sekali mereka membuat perubahan dan mengatur rancangan-rancangan baru.
  2. Pemimpin yang dijanjikan, Allah sendiri memberi rezeki dari sumber yang tidak diduga (yakni dari Allah sendiri), sama ada untuk peribadi, keluarga dan perjuangannya. Allah alirkan rezeki dan keperluan tepat pada masanya, dengan cara-cara yang Allah tetapkan. Sehingga hal kewangan tidak pernah menjadi masalah penting dalam perjuangannya. Sedangkan pemimpin yang tidak dijanjikan tidak memperolehi rezeki yang istimewa ini.
  3. Pemimpin yang dijanjikan, diri peribadinya dididik dan dipelihara langsung oleh Allah. Hinggakan dia mempunyai taqwa, akhlak, fikiran, hati, perasaan dan sikap serta tindak-tanduk yang terbaik di zamannya dan terpimpin, sesuai dengan darjat mengikut peringkat masing-masing. Kalau rasul disebut maksum, wali-wali dipanggil mahfuz. Kesilapan mereka ditegur oleh Allah. Sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sikap baik mereka didorong oleh Allah. Mereka diberi ketahanan hati. Hal begini tidak berlaku kepada pemimpin yang tidak dijanjikan.
  4. Pemimpin yang dijanjikan oleh Allah, Allah bantu dengan pertolongan ghaib. Cara-cara pertolongan ghaib ini berbagai bentuk seperti mukjizat (untuk nabi dan rasul), keramat (untuk wali), maunah, kasyaf, ilham, hatif dan lain-lain lagi. Bilamana cara-cara lahir tidak lagi boleh memberi peranan, maka Allah datangkan pertolongan ghaib yang boleh memberi bantuan pada perjuangan dan kepimpinan pemimpin yang dijanjikan ini. Pertolongan bentuk ini tidak diberi kepada pemimpin yang tidak dijanjikan.
  5. Kenaikan pemimpin yang dijanjikan bukan bersandar kepada sokongan rakyat atau orang ramai. Allah sendiri naikkan dia dengan cara-cara tersendiri pula. Ertinya, dia tidak bergantung sangat kepada jasa manusia, sama ada dalam menaikkan atau menjatuhkannya. Dia mempunyai cara dan kekuatan sendiri yang cukup untuk menaikkannya.

    Sebab itu pemimpin yang dijanjikan, kepimpinannya berjaya dan dia memimpin seumur hidup. Dia diterima oleh hati manusia, bukan dengan undian jari atau kertas undi atau lobi-melobi dan jauh sekali dengan membeli undi. Sedangkan pemimpin yang tidak dijanjikan, dinaikkan oleh rakyat. Hakikatnya dia dikuasai oleh rakyat dan terpaksa berbuat ikut selera rakyat. Sukar bagi dia untuk berbuat ikut kehendak Tuhan. Kedudukannya sentiasa terancam dan mudah terjatuh sebelum berjaya menegakkan hukum.
  6. Pemimpin yang dijanjikan hidup zuhud dan miskin. Kalau sebelum jadi pemimpin dia kaya, tetapi bila jadi pemimpin terus miskin atau kurang kekayaan. Ini kerana kekayaannya itu dikorbankan untuk rakyat dan negara. Rasulullah menghabiskan harta kekayaan isterinya yang dihadiahkan kepadanya. Sayidina Abu Bakar r.a. juga menghabiskan kesemua kekayaannya. Sayidina Umar Al Khattab r.a. mengorbankan 75% daripada hartanya. Sayidina Usman ibnu Affan r.a., setengah kekayaannya dikorbankan untuk Islam. Sayidina Ali k.w. memang asalnya miskin. Khalifah Umar Abdul Aziz, kekayaannya dan kekayaan isterinya dijadikan milik negara.
  7. Pemimpin yang dijanjikan dapat kawal masyarakat bukan menggunakan polis, tentera, penjara, hudud dan qisas, akta, undang-undang dan seumpamanya. Kalau ada pun terlalu sedikit sekali. Sebaliknya mereka dapat jinakkan hati-hati manusia daripada cenderung kepada kejahatan kepada cenderung pada kebaikan. Yang mana bila hati sudah baik, hati itu sendiri yang membenci kejahatan dan menolak dari melakukannya. Sedikit saja bilangan rakyat yang masih suka kepada maksiat dan kemungkaran. Maka yang sedikit inilah yang terpaksa dihudud dan diqisaskan sebagai didikan. Moga-moga hukuman dapat memahamkan dia perihal akibat melakukan kejahatan.

    Dengan cara memimpin yang luar biasa ini, pemimpin yang dijanjikan benar-benar dapat membina masyarakat aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.
  8. Pemimpin yang dijanjikan sebenarnya tidak mengharap dan tidak meminta untuk menjadi pemimpin. Apalagi hendak diusahakan atau direbutkan, tidak sekali-kali. Bahkan mereka tidak mahu dan takut sekali dengan jawatan kepimpinan. Tidak nampak tanda-tanda langsung yang mereka ini ghairah dan gila kuasa.

0 comments:

Post a Comment

FreeLance PhotoGraphic Designer

My name is Ain Aznan and I am a freelance photo graphic designer based in Malaysia.

I have been dedicating my time to helping companies and individuals redesign and improve their corporate and portfolio design; making them simpler, clearer, more efficient and professional.

Please browse through my projects here to get a feel of my style and approach in web design.

If I am the right designer for you, please leave comment at my blog comment and I'll reply you about your needs. I enjoy meeting new clients and would love to **collaborate with you.

Good day.